Thursday, August 27, 2009

KEMAHIRAN BERTUTUR

KEMAHIRAN BERTUTUR

Mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia, Kemahiran bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara spontan. Penekanan diberi kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

Kemahiran bertutur melibatkan perlakuan fizikal dan pertimbangan mental yang akan menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dalam bentuk percakapan atau pertuturan. Secara fizikalnya, pertuturan melibatkan alat-alat pertuturan sepeti bibir, lidah, gusi dan pita suara. Selain itu, unsur-unsur paralinguistik seperti gerakan badan, termasuk tangan dan kontak mata, turut memainkan peranan untuk memberikan kefahaman yang lebih terhadap pertuturan tersebut. Dalam hal pertimbangan mental, sesuatu pertuturan melibatkan pemilihan kata dan unsur-unsur prosodi seperti jeda, nada, intonasi dan tekanan suara. Kedua-dua faktor ini akan menjadikan sesuatu pertuturan itu lebih bermakna, mudah difahami dan berkesan.

Bertutur adalah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan (artikulator) manusia. Ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa. Kemahiran bertutur berlaku di peringkat produksi. Ia bukan dicipta oleh pelajar tetapi ditiru dan diajuk. Oleh kerana itu, model-model yang diperdengarkan haruslah model-model yang baik yang membolehkan pelajar-pelajar bertutur secara berkesan. Selain itu, kemahiran bertutur juga merupakan suatu proses mencipta, merunding dan menterjemahkan makna disamping proses pertukaran makna antara individu menggunakan sistem simbol yang di kongsi bersama. Kemahiran bertutur juga ditakrifkan sebagai keupayaan murid berbicara untuk menjalinkan hubungan, menyampaikan maklumat dan idea yang kreatif serta kritis dengan sebutan yang betul.



i. Pertuturan Sehala dan Dua Hala

(a) Sehala
Pertuturan sehala bermakna tidak berlaku timbal balas atau tindak balas dalam
proses pertuturan itu. Ini bermakna, penutur bertutur dan pendengar hanya
mendengar sahaja. Contoh-contoh pertuturan sehala ialah seperti ucapan,
syarahan, khutbah, monolog dan sebagainya.

(b) Dua Hala
Pertuturan dua hala pula bermaksud, penutur dan pendengar akan melakukan
timbal balas antara satu dengan yang lain dalam masa pertuturan itu berlaku.
Perbincangan, pembentangan kertas kerja, pengajaran, perbualan, temu ramah dan
sebagainya ialah contoh-contoh pertuturan dua hala.


ii. Aktiviti Kemahiran Bertutur

(a) Berbual
Aktiviti bertutur seperti berbual boleh dilakukan dengan berbagai cara untuk menggalakkan pelajar terlibat secara aktif. Aktiviti ini boleh dijalankan secara langsung di dalam kelas. Guru boleh berbual dengan pelajar tentang pelajaran ynag telah diajarkan, isu-isi semasa yang menarik atau mengenai perkara-perkara yang berlaku di sekitar sekolah. Aktiviti ini membolehkan pelajar bertutur secara yakin. Pada masa yang sama, guru boleh mengenal pasti kelemahan pelajar dalam aspek pertuturan.

(b) Memberikan Pendapat
Aktiviti memberikan pendapat boleh dilakukan secara spontan atau terancang. Pelajar boleh diminta memberikan pendapat secara spontan tentang perkara-perkara umum, khususnya tentang diri mereka, keluarga dan tempat tinggal mereka. Secara terancang, aktiviti ini boleh dilakukan dengan cara guru terlebih dahulu menyediakan tajuk-tajuk atau isu yang akan dibincangkan. Guru seharusnya memberikan struktur, cara dan gaya ketika memberikan pendapat tersebut kepada pelajar.

(c) Bercerita
Bercerita ialah aktiviti pertuturan yang menarik. Aktiviti ini diminati terutamanya oleh murid-murid sekolah rendah. Melalui aktiviti ini, guru perlulah menegaskan tentang intonasi dan gaya bertutur yang sesuai dan betul ketika bercerita.

(d) Teater Bercerita
Teater bercerita ialah satu bentuk drama naratif yang dilakonkan secara spontan. Teater bercerita menggabungkan pelakon dan pencerita pada masa yang sama. Tegasnya, pencerita akan becerita, manakala pelakon akan melakonkan aksi atau perkara yang diceritakan oleh pencerita itu. Aktiviti ini boleh mendidik pelajar untuk bertutur dengan intonasi yang betul.

(e) Berbincang
Untuk menjalankan sesuatu perbincangan, guru perlulah menyediakan tajuk yang sesuai dan menarik untuk dibincangkan. Pelajar perlu dipandu untuk bercakap secara bergilr-gilir dalam aktiviti perbincangan ini. Guru mestilah mengawal perjalanan sesuatu perbincangan supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang telah ditetapkan.

(f) Memujuk
Memujuk ialah suatu aktiviti kemahiran bertutur yang memerlukan kemahiran berbahasa yang tinggi. Hal ini kerana, bahasa pujukan mengandungi ciri-ciri hiperbola yang berperanan untuk menyakinkan pendengar. Dalam aktiviti ini pelajar boleh diminta memainkan peranan sebagai jurujual dan mereka diminta untuk mempromosikan barang jualan mereka secara lisan.



3.0 Menyampaikan maklumat dalam pengucapan yang mudah, betul, menarik, dan berkesan
3.1 Menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara atau tajuk menggunakan kata, istilah, frasa, struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai
Contoh Aktiviti :
i.Murid menyatakan isi-isi penting berdasarkan tajuk tentang permainan tradisional dengan menggunakan intonasi yang betul dan gramatis
i.Murid diminta menyusun mengikut keutamaan atur cara perhimpunan Sekolah dan menyampaikannya dengan menggunakan ayat yang tepat
ii.Murid mendengar rakaman perbualan dan diminta oleh guru untuk mencatat isi penting dan menyatakan maklumat berdasarkan rakaman perbualan yang didengar

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti (i) langkah perlaksanaan bermula dengan guru menunjukkan model permainan gasing kepada murid. Guru menceritakan tentang pemainan tradisional dengan intonasi yang betul dan gramatis. Murid memberikan respon dengan menyatakan isi-isi penting tentang permainan tradisional dengan intonasi yang betul dan gramatis. Guru menggunakan kad gambar untuk menunjukkan dan menceritakan tentang permainan tradisonal. Guru meminta murid menceritakan pengalaman mereka dalam bermain permainan tradisional. Murid memberi respon dengan menceritakan pengalaman mereka berdasarkan contoh yang telah diberikan dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.

3.2 Menghuraikan maklumat dengan alasan yang meyakinkan
Contoh Aktiviti :
i.Murid membuat sumbangsaran tentang tajuk zat makanan
ii.Murid memberi penerangan berdasarkan catatan yang dibuat pada peta minda
iii.Murid dapat membezakan situasi membeli makanan di kantin secara beratur dan berebut-rebut

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti (i) langkah perlaksanaan bermula dengan guru menunjukkan model makanan kepada murid. Guru memainkan peranan dengan menceritakan mengenai makanan berkhasiat dengan pengucapan yang mudah dan berkesan. Guru meminta murid menyatakan jenis makanan yang diketahui mereka. Murid membuat sumbangsaran dengan menyatakan jenis makanan yang diketahui dengan intonasi yang betul dan gramatis. Guru menghuraikan tentang makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat dengan menggunakan alasan yang meyakinkan. Murid memberikan respon dengan dapat membezakan makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat dengan menggunakan alasan yang meyakinkan.

3.3 Menyampaikan maklumat kepada pihak lain dalam aktiviti yang terancang

Contoh Aktiviti :
i.Murid menonton sedutan animasi yang menarik dan menyatakan pengajaran yang diperoleh dalam sesi pembentangan
ii.Murid berbincang dalam kumpulan kecil mengenai tajuk kenderaan
iii.Murid memberikan pandangan dalam kumpulan kecil tentang isu flora dan fauna

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti (i) langkah perlaksanaan bermula dengan guru meminta murid duduk dalam kumpulan berempat. Kemudian guru menunjukkan sedutan animasi mengenai alam sekitar. Guru menceritakan tentang alam sekitar kepada murid dengan intonasi yang betul dan gramatis. Seterusnya berdasarkan sedutan animasi yang telah ditunjukkan oleh guru, murid diminta untuk menyatakan pengajaran yang diperoleh dalam sesi pembentangan. Murid memberikan respon dengan berbincang di dalam kumpulan. Murid seterusnya memberikan respon dengan menyatakan dan menyampaikan maklumat mengenai apa yang dilihat menerusi sedutan animasi tersebut dengan menggunakan intonasi yang betul dan gramatis.

4.0 Berbincang tentang tajuk-tajuk yang relevan secara bertatasusila.

4.1 Mengemukakan idea, pandangan, dan pendapat tentang sesuatu perkara secara terperinci, tepat, dan tersusun

Contoh Aktiviti :
i.Murid berbincang mengenai tajuk keluarga bahagia
ii.Murid memberikan pandangan yang jelas mengenai cara menjaga kebersihan diri
iii.Murid mendengar petikan majalah yang dibacakan oleh guru dan memberikan respon secara sopan

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti (i) langkah perlaksanaan bermula dengan guru
meminta murid duduk dalam kumpulan berempat. Guru menunjukkan sedutan video mengenai keluarga bahagia. Guru menjelaskan dan menceritakan tentang sedutan video tersebut. Murid memberi respon dengan memberikan idea mengenai sedutan video tersebut dalam pengucapan yang mudah. Guru meminta murid berbincang di dalam kumpulan mengenai tajuk keluarga bahagia dan membandingkan dua situasi keluarga. Murid memberikan respon dengan berbincang mengenai tajuk tersebut.


4.2 Mengemukakan komen yang sesuai berdasarkan pemerhatian, pengalaman, dan maklumat yang disampaikan oleh pihak lain.

Contoh Aktiviti :
i.Murid diminta melukiskan lakaran bunga dan memberikan penerangan mengenai lakaran yang dibuat
ii.Murid membahaskan mengenai isu Kelas Bimbingan dapat membantu murid
dalam pembelajaran
iii.Simulasi seorang murid menerima hadiah daripada guru. Murid lain
memberikan pandangan dan cadangan tentang perkara yang sepatutnya
dilakukan semasa menerima hadiah tersebut

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti (i) langkah perlaksanaan bermula dengan guru
menunjukkan bunga (benda maujud) kepada murid. Murid memberikan respon dengan menyatakan nama bunga tersebut.Guru menceritakan mengenai bunga yang terdapat di sekitar sekolah dengan intonasi yang betul dan gramatis. Murid memberi respon dengan menyatakan bunga yang diketahui dengan menggunakan intonasi yang betul dan gramatis.Guru menyuruh murid melukiskan lakaran bunga dan memberikan penerangan mengenai lakaran yang dibuat. Murid memberi respon dengan melukiskan lakaran bunga dan memberikan penerangan mengenai lakaran yang dibuat.

4.3 Mengemukakan hujah untuk menyokong atau menentang pendirian dengan
memberikan alasan yang sesuai secara sopan.

Contoh Aktiviti :

i.Murid mengemukakan hujah mengenai kepentingan kebersihan makanan
berdasarkan gambar rangsangan
ii.Murid mumbuat perbincangan mengenai cara untuk menceriakan kelas
dengan memberikan contoh untuk menyokong atau menentang cadangan itu
i.Murid dapat memberikan pendapat dan alasan mengenai isu menjaga
kebersihan sekolah

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti (i) langkah perlaksanaan bermula dengan guru menunjukkan gambar rangsangan mengenai kebersihan makanan kepada murid. Gambar rangsangan tersebut adalah mengenai makanan yang bersih dan makanan yang tidak bersih. Murid memberikan respon dengan menceritakan apa yang dilihat berdasarkan gambar rangsangan yang telah ditunjukkan. Guru meminta murid duduk dalam kumpulan berempat dan berbincang mengenai kebersihan makanan. Berdasarkan perbincangan yang dibuat dalam kumpulan murid dapat mengemukakan hujah mengenai kepentingan kebersihan makanan berdasarkan gambar rangsangan.

4.4 Menyatakan pilihan untuk menerima atau menolak pendapat dalam perundingan untuk mencapai kata sepakat.

i.Murid berbincang mengenai diri seseorang berdasarkan patung boneka
yang ditunjukkan oleh guru. Murid diminta mengumpulkan semua cadangan
untuk menerima atau menolak idea tersebut dengan alasan
ii.Murid menjalankan simulasi sesi perbincangan berkaitan aktiviti Sambutan
Hari kanak-Kanak
iii.Murid mengadakan perbincangan untuk mendapatkan kata putus sama ada
menerima atau menolak sesuatu cadangan tentang menentukan gerai jualan
makanan pada Hari Kantin

Langkah-Langkah Perlaksanaan
Berdasarkan contoh aktiviti tersebut langkah pelaksanaan bermula dengan guru menunjukkan patung boneka kepada murid dan meminta murid meneka nama boneka tersebut. Murid memberikan respon dengan menyatakan nama yang diketahui mengikut pengetahuan sedia ada mereka. Guru menerangkan bagaimana caranya untuk mengenali diri seseorang. Murid memberikan respon dengan menceritakan tentang rakan mereka dengan menggunakan ayat mudah. Guru meminta murid berbincang dalam kumpulan berempat mengenai sifat yang baik dan buruk yang ada pada diri seseorang. Murid memberikan respon dengan berbincang di dalam kumpulan dan dapat membuat pilihan untuk menerima atau menolak idea yang dicadangkan.

No comments: