Wednesday, August 26, 2009

TEKNIK

TEKNIK PENGAJARAN BAHASA

Teknik adalah satu bentuk pelaksanaan aktiviti yang direalisasikan dalam bilik darjah. Teknik bertujuan untuk membolehkan sesuatu objektif itu dicapai dengan segera. Dalam pengajaran dan pembelajaran, pelbagai teknik boleh digunakan. Keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana guru dapat memberi pemahaman kepada murid-murid serta bergantung kepada guru merancang isi, memilih aktiviti, memilih bahan dan mengenal pasti alat serta contoh-contoh yang digunakan.

Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga;2007), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Edward M. Anthony (Kamarudin Hj. Husin;1989) menghuraikan teknik seperti berikut :

“A technique is implementational that which actually takes places in a classroom. It is a particular triak, stratagem, or contrivance used to accomplish an immediate objective.”

Beliau mendefinisikan teknik merupakan satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu manakala mengikut Kamarudin Hj. Husin (2004), dalam bukunya, Pemahanan dalam Buku Bahasa Melayu STPM, teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti. Mengikut penerangan dan definisi daripada Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz(1989), dalam bukunya, Pengajian Melayu III ; Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
Berdasarkan kepada pendapat Mengantar Simanjuktak (1981) pula, teknik juga boleh didefinisikan sebagai satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian pengajarn tertentu.

Dalam teknik pengajaran bahasa di dalam kelas, terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan oleh guru. Antaranya seperti main peranan, teknik permainan bahasa, teknik latih tubi, teknik bercerita, teknik inkuiri, teknik perbahasan, teknik kuiz, teknik sumbangsaran, teknik soal jawab, teknik simulasi, teknik drama, teknik perbincangan, teknik forum dan teknik dialog. Teknik-teknik ini kebiasaannya digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik tersebut digunakan oleh guru dalam kelas supaya dapat menarik minat murid, mengekalkan perhatian murid semasa guru mengajar, dan membangkitkan perasaan ingin tahu pada diri pelajar.


TEKNIK BERCERITA

Bercerita telah menjadi tradisi budaya manusia sejak zaman berzaman untuk memberi pengajaran, pengetahuan, hiburan dan berkongsi pengalaman. Dalam masyarakat Melayu tokoh-tokoh seperti Tok Tubang, Awang Batil atau Awang Belanga dan Tok Selampit merupakan penglipur lara yang terkenal dalam tradisi bercerita.
Teknik bercerita bukan suatu teknik yang baru malahan pernah dilakukan oleh ibu bapa sewaktu menyampaikan suatu pengajaran kepada anak-anak. Teknik ini dapat menarik minat anak-anak. Berdasarkan pendapat Jean Piaget(1962), teknik bercerita juga boleh dilakukan semasa guru-guru menyampaikan pengajaran kepada murid-murid kerana murid akan lebih cepat menumpukan perhatian dan akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam keadaan yang menyeronokkan. Murid-murid khususnya di sekolah rendah amat menggemari cerita. Walaupun mereka masih kecil tetapi apa yang diceritakan kepada mereka akan segera difahami dan kadang-kala dapat pula sekali gus memahami maksud cerita tersebut. Oleh hal yang demikian, jika murid-murid diberi peluang belajar dalam suasana yang menyeronokkan, pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan. Selain itu, teknik ini dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikalangan pelajar. Namun, terdapat perbezaan juga antara teknik bercerita dengan pengajaran cerita.
Mengikut pendapat Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz(2004), guru mesti inovatif dalam mencari cerita yagn sesuai dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Guru mestilah memastikan cerita yang dipilih bersesuaian dengan umur murid-murid dan dapat menarik perhatian dan minat mereka. Guru juga boleh menggunakan bahan-bahan sampingan yang dapat menarik minat murid-murid terhadap cerita yang disampaikan seperti boneka, tali, binatang mainan, kertas dan sebagainya. Pada masa yang sama, guru perlulah mempelbagaikan suara dan nada supaya cerita yang ingin disampaikan kepada murid-murid menjadi lebih menarik. Dalam teknik bercerita ini, guru hendaklah memastikan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan kepada murid-murid.
Pada pendangan Kamarudin Hj. Husin(1971), kebaikan teknik ini adalah dapat melengkapi murid-murid dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan bahasa terutamanya kecekapan lisan. Kaedah ini menggalakkan murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif khasnya bila guru menyoal balik mengenai moral sesuatu cerita. Kemahiran-kemahiran yang guru perlu guna dalam teknik bercerita ialah kemahiran verbal seperti projeksi suara, penekanan frasa atau bunyi dan penggunaan ayat-ayat yang mudad. Selain itu, guru perlu menggunakan kemahiran nada suara yang sesuai untuk menggambarkan situasi tertentu dan memilik kebolehan memanipulasi mimik muka untuk menunjukkan emosi yang berlainan. Kemahiran bukan verbal yang guru perlu menguasai dalam teknik bercerita ialah gerak mata dan mimik muka yang sangat ekspresif. Aktiviti yang paling penting dalam teknik bercerita ialah sesi perbincangan yang menyusul selepas guru habis bercerita. Dalam proses perbincangan, guru mestilah memastikan menguji tentang kefahaman murid tentang cerita yang telah disampaikan olehnya. Berdasarkan teknik ini, guru dapat juga membina pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran selepas satu sesi cerita iaitu kefahaman, latihan tatabahasa dan merumuskan isi-isi penting dalam cerita.


TEKNIK BERLAKON/DRAMA

Berlakon atau berdrama ialah satu teknik yang melibatkan tubuh badan. Teknik merupakan segala bentuk perlakuan yang meliputi segala kegiatan hidup manusia. Kebiasaanya, teknik ini dilakukan oleh watak-watak tertentu sebagai mencerminkan keadaan sebenar atau meniru cara dan bentuk kegiata-kegiatan yang berlaku dalam hidup masyarakat. Teknik ini sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual.

Mengikut pandangan Mok Soon Sang(1989), tujuan utama teknik drama digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk melatih pelajar menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan lain-lain) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Selain ini, teknik berlakon/drama ini dapat mendorong dan merangsang pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan mata pelajaran yang dipelajarinya apabila disampaikan oleh gurunya. Mengikut Razali Arof(1971), drama juga berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, teknik drama dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar, disamping dapat menyuburkan sahsiah pelajar.

Di sekolah, berlakon merupakan satu aktiviti yang amat digemari oleh pelajar kerana berlakon dijalankan dalam bentuk bermain dan bersukaria. Mereka diberi peranan untuk berkata-kata secara bebas, melahirkan pandangan dan pendapat, bergaya dan beraksi sesame sendiri, berhibur dengan telatah dan gaya rakan sebaya, melibatkan diri, bekerja bersama-sama dan sebagainya. Aktiviti seperti ini, walaupun berjalan dalam keadaan tidak formal, tetapi aktiviti ini dapat membantu menambahkan kemahiran bahasa pelajar.

Berlakon bagi pelajar-pelajar di dalam darjah sebenarnya tidak begitu memerlukan persediaan dan persiapan. Alat perhiasan atau latar belakang seperti yang digunakan dalam lakonan pentas sebenarnya tidak diperlukan. Pelajar hanya perlu beraksi atau melakukan sesuatu pergerakan sambil bercakap. Aktiviti bermain seperti yang sering dilakukan oleh kanak-kanak misalnya bermain guli, bermain layang-layang, bermain pondok-pondok, menjadi askar dan sebagainya boleh dijadikan bahan lakonan. Begitu juga dengan hal-hal bersangkutan dengan pengalaman mereka seperti berjumpa doktor, berbual di pasar, membeli kasut, meminta duit daripada ibu bapa, dan sebagainya boleh menjadi menarik apabila dilakonkan.

Berdasarkan pendapat Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh(2005), terdapat beberapa jenis lakonan yang boleh dijadikan sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah lakonan bisu, lakonan spontan, dan lakonan skrip. Lakonan bisu ini bertujuan untuk melatih pelajar memahami serta menggambarkan maksud dan perasaan melalui penggunaan unsur-unsur bukan linguistik seperti mimik muka, gerak tangan, kepada badan dana lain-lain. Lakonan spontan pula bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar berlakon secara spontan bagi menggambarkan maksud dan perasaan yang ingin disampaikan melalui penggunaan unsur-unsur bahasa dan bukan linguistik yang berkesan. Selain daripada itu, tujuan lakonan berskrip melalui penggunaan teknik lakonan berskrip atau dialog drama bukanlah membolehkan pelajar-pelajar mementaskan persembahan lakonan tersebut tetapi hanya untuk membolehkan pelajar-pelajar membaca, memahami serta menghayati dan kemudian melakonkan skrip tersebut dengan menggunakan unsur-unsur paralinguistik dan bukan linguistik yang betul.

TEKNIK MENGHAFAZ DAN LATIH TUBI

Teknik menghafaz dan latih tubi ialah satu teknik pengajaran yang telah lama digunakan sejak beribu-ribu tahun sebelum masihi. Teknik ini digunakan oleh orang-orang Yahudi untuk mengajar agama dan perkara-perkara yang bersabit dengan Tuhan mereka. Pada masa itu, teknik ini digunakan secara amat berkesan sekali. Teknik latih tubi ini menjadi sebahagian daripada aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari. Tujuan teknik ini digunakan dalam kelas adalah untuk mencapai tahap penguasaan kemahiran di samping menjamin kekekalannya. Kebiasaannya, teknik ini sesuai digunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu dan boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting. Pada pandangan Mok Soon Sang ( 2008), beliau mengatakan pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam situasi yang penggunaan perkataan-perkataan itu. Dalam pengajaran bahasa dengar dan sebut, (audiolingual) teknik ini kebiasaannya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua.

Jika guru menggunakan teknik ini dalam pembelajaran dan pengajaran, guru mesti memerhati 5 aspek kebolehan iaitu sebutan (accent). Murid boleh menyebut perkataan-perkataan atau suku kata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi. Aspek yang kedua ialah tatabahasa (grammer), iaitu murid-murid dapat menguasai penggunaan bahasa yang tepat mengikut hukum-hukum bahasa dalam semua aspek, manakala dari segi aspek perbendaharaan kata (vocabulary) pula, guru harus memastikan murid mengetahui penggunaan imbuhan yang sesuai mengikut konteksnya dalam situasi tertentu. Dalam teknik ini, guru harus pastikan kefasihan (fluency) murid-murid iaitu murid boleh menggunakan perkataan dan lain-lain dengan cara spontan tanpa memikirkan apakah maksudnya. Kebolehan yang harus dikaji dan diambil berat ialah kefahaman (comprehension) yang membawa maksud apabila selesai sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru untuk menguji kefahaman murid dan murid mestilah memberikan jawapan yang wajar atau bernas berdasarkan soalan tersebut.

Teknik menghafaz ini memerlukan 4 langkah berikut, iaitu memikirkan bahan yang dipelajari bermaksud murid diminta menumpukan perhatian isi kandungan yang harus diingat. Langkah yang kedua pula mengulang bahan yang dipelajari, iaitu pelajar dilatih berulang kali sehingga apa yang dipelajari itu menjadi sebati dan pelajar tidak teragak-agak untuk menyebutnya. Selain itu, murid mengucapkan bahan di hadapan guru, iaitu apabila murid membaca dengan kuat di dalam kelas, pelajar atau guru dapat menyemak atau memperbetulkan kesalahan yang mungkin berlaku. Langkah yang terakhir adalah dengan mengingatkan bahan yang dipelajari. Pada peringkat ini, pelajar diminta mengingat secara bersendirian bahan yang telah dipelajari itu supaya menjadi lebih kekal atau lebih diingati oleh pelajar.

Setiap teknik mempunyai kebaikan dan kelemahannya. Kamarudin Hj Husin (1989), mengatakan teknik menghafaz dan latih tubi ini juga mempunyai kelemahannya seperti menghadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid sahaja. Namun begitu, teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.


TEKNIK PERMAINAN BAHASA

Permainan bahasa ialah satu teknik yang menarik dan boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Teknik ini merupakah satu teknik yang menyeronokkan dan dapat memberi faedah kepada pemainnya dalam berbagai-bagai aspek. Menurut Kamarudin Hj. Husin(1997) dalam bukunya Pengajian Melayu 2, beliau mengatakan teknik ini boleh menjadi alat perantaraan untuk mendapat hiburan dan kepuasan.

Aktiviti ini amat secocok dengan naluri pelajar yang sukakan hiburan, cabaran dan kepuasan serta kecerdasan pelbagai yang dimiliki oleh pelajar. Mengikut pendapat Kamarudin Hj. Husin(1989), dalam bukunya, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan Model-Model Pengajaran, beliau mengatakan penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada pelajar memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa kepada pelajar seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya. Hala tuju ini diinterpresasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa tersebut iaitu merangsang interaksi verbal pelajar, menambah kefasihan dan keyakinan pelajar, menyediakan konteks pembelajaran, bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan dan bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan penggayaan

Permainan bahasa haruslah mempunyai tujuan-tujuan tertentu. berdasarkan buku pandangan Kamarudin Hj. Husin, dalam bukunya, Pedagogi Bahasa, beliau mengatakan guru hendaklah pandai memilih jenis permainan supaya pelajar akan segera mendapat faedah daripadanya. Bagi seorang guru, permainan bahasa itu ialah satu kegiatan dan gerak kerja yang menarik yang boleh memikat minat pelajar. Teknik ini juga merupakan satu cara mempelbagaikan teknik pengajaran dan digunakan sebagai satu aktiviti pengukuhan. Bagi pelajar pula, aktiviti ini merupakan satu cara pembelajaran yang tidak formal dan menyeronokkan. Aktiviti mampu mengekalkan minat pelajar sepanjang pembelajaran berlaku. Ia juga bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan pembelajaran melalui aktiviti-aktiviti yang tidak membosankan tetapi memberi peluang kepada pelajar bertolak ansur, serta mempertingkatkan kerjasama dan penglibatan diri dalam bentuk yang lebih sempurna.

Pada pandangan Mok Soon Sang(Jun 2008), pada dasarnya, teknik permainan bahasa diwujudkan untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran bahasa yang selesa dan memgembirakan serta membolehkan murid menggunakan bahasa sebagai alat perantaraan semasa bermain serta dapat meneguhkan penggunaan unsur-unsur bahasa tertentu tanpa disedari oleh pelajar. Apabila guru menggunakan teknik ini dalam kelas, guru dapat mewujudkan situasi sosial yang sihat bagi membolehkan pelajar berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Selain itu, teknik ini juga bertujuan untuk mendorong minat pelajar-pelajar untuk bekerjasama bagi menjayakan sesuatu tugas yang diberi. Melalui teknik permainan bahasa, guru dapat meneguhkan dan memperkembangkan salah satu daripada keempat-empat kemahiran dalam pembelajaran.


TEKNIK SIMULASI

Berdasarkan pendapat Mok Soon Sang(1998), dalam bukunya, Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, beliau berpendapat simulasi sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi esame sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula. Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting.
Dalam proses ini, pelajar digalakkan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Kamarudin Hj. Husin(1997) menyatakan teknik simulasi dapat memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah. Di samping itu, melalui teknik ini, pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan, membaca, dan menulis. Apabila guru menggunakan teknik ini, guru dapat mewujudkan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.

TEKNIK BERSOAL JAWAB

Teknik bersoal jawab ialah satu cara menyampaikan pelajaran yang paling popular dan paling kerap dilakukan oleh guru di sekolah. Teknik soal jawab ini merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan. Guru yang memilih teknik ini bukan kerana mudah dilaksanakan, tetapi juga berupaya mewujudkan interaksi antara guru dengan murid secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Soalan-soalan yang dikemukan oleh guru memerlukan pelajar berfikir dan menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritif serta dapat menguji dan menilai pembelajaran yang diberikan oleh guru dalam bilik darjah. Mengikut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1989;120) mengatakan bahawa, teknik bersoal jawab ini menjadi alat yang efektif untuk mengesan pemahaman, menggerakkan minda untuk pencernaan idea, konsep falsafah dan sebagainya. Selain itu, teknik kini menggalakkan kesanggupan melahirkan perasaan dan fikiran, penglibatan dan kepercayaan diri dalam kalangan pelajar.

Tujuan utama teknik soal jawab ini adalah untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid, menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru sering menggunakan teknik ini di dalam kelas kerana dapat mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar. Mengikut Kamarudin Hj. Husin (2004) dalam bukunya, Pedagogi Asas Pendidikan mengatakan kejayaan menggunakan teknik ini biasanya bergantung kepada kebolehan guru merancang soalan-soalan dan mencetuskan secara spontan soalan-soalan baru ekoran daripada jawapan yang diberi oleh guru. Pemberian soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

No comments: